Seorang pengguna Threads meluahkan rasa kecewa selepas mendakwa beberapa parcel yang diletakkan di hadapan rumahnya dibuka tanpa kebenaran ketika beliau tiada di rumah.
Menerusi perkongsian tersebut, pemilik rumah memaklumkan beliau hanya menyedari kejadian itu selepas pulang dari kampung. Lebih mengejutkan, semua parcel yang diterima didakwa telah dibuka sebelum dicampakkan semula di kawasan rumah.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikongsikan menunjukkan beberapa kanak-kanak dipercayai memasuki kawasan hadapan rumah sebelum menghampiri bungkusan yang ditinggalkan. Berdasarkan rakaman itu, mereka dilihat mengendalikan parcel berkenaan sebelum beredar.
Pemilik rumah meluahkan kebimbangan sekiranya bungkusan tersebut mengandungi barangan bernilai atau sulit kerana tindakan membuka parcel tanpa kebenaran boleh menyebabkan kerugian kepada pemilik.
“Tolong bagitahu aku macam mana nak ajar budak-budak curi parcel kat rumah orang? Buka sesuka hati lepas tu campak balik. Bayangkan kalau time diorang buka tu barang berharga. Bengang betul balik dari kampung tengok semua parcel terbuka,” tulisnya di Threads.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya. Rata-rata mengecam perbuatan tersebut dan berpendapat ibu bapa perlu memainkan peranan dalam mendidik anak-anak supaya menghormati hak milik orang lain.
Dalam masa yang sama, ada juga netizen mengingatkan orang ramai supaya menggunakan peti parcel, meminta penghantaran dilakukan ketika penghuni berada di rumah atau memasang kamera CCTV sebagai langkah keselamatan tambahan.
Setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada laporan polis telah dibuat berhubung kejadian tersebut.
